google.com, pub-4145492594364757, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Rumah Sewa Malaysia: Bandar Koperasi Pertama Asia Di Pengerang, Johor.

'1 Click This Ads Can Generate Our Income'

Tuesday, June 24, 2014

Bandar Koperasi Pertama Asia Di Pengerang, Johor.


JOHOR BAHRU: Coop City yang akan dibangunkan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM500 juta di Bandar Penawar, Pengerang, bakal mencipta sejarah sebagai bandar koperasi pertama di Asia.

Projek perintis Coop City di tapak seluas 29.13 hektar di Mukim Pantai Timur Bandar Penawar, turut membabitkan pembangunan kira-kira 1,000 kediaman pelbagai kategori, pusat perniagaan, tempat rekreasi, pengumpulan produk industri kecil dan sederhana (IKS), hotel dan pusat beli belah serba lengkap. 


Koperasi Pengerang Kota Tinggi Bhd (KOPETI) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA), semalam memeterai Memorandum Persefahaman (MoU), yang secara rasminya mengesahkan dua badan itu sebagai pengurus projek bersama dalam pembinaan Coop City Bandar Penawar.

Majlis memetarai MoU itu antara KOPETI yang diwakili Pengerusinya, Tahir Aris dengan Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Md Jais Sarday.

Abdul Fattah berkata, pembinaan Coop City Bandar Penawar menggunakan konsep yang sama seperti pembinaan bandar koperasi pertama dan terbesar di dunia seluas 82.96 hektar yang terletak di Bronx, New York, Amerika Syarikat.

"Walaupun mengambil konsep yang sama seperti bandar koperasi di New York, namun ia masih dibina untuk memenuhi keperluan masyarakat tempatan dan dalam peringkat permulaan, kami akan menubuhkan jawatankuasa teknikal pada September ini.

"Dengan penubuhan jawatankuasa ini, segala perancangan seperti penyediaan jadual fasa pertama pembinaan serta beberapa faktor penilaian lain dapat dibuat dengan mengambil kira keperluan dan kemampuan koperasi," katanya selepas majlis memeterai MoU itu di sini, hari ini.

Pembinaan bandar koperasi serba lengkap itu dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun sekali gus dapat membantu meningkatkan kadar pemilikan aset dan perniagaan bumiputera.

Tanggungjawab membangunkan sebuah bandar koperasi bukanlah perkara mudah kerana ia memerlukan komitmen tinggi, selain memerlukan modal dan kepakaran membangunkan sebuah bandar yang menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor koperasi.

"Inilah masanya untuk kita melihat sebuah bandar koperasi diwujudkan yang dapat memenuhi konsep berkoperasi selaras dengan Dasar Koperasi Negara yang ingin melihat sektor koperasi memberikan sumbangan yang besar kepada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK),” katanya. 

Sumber: Berita Harian

0 comments:

Post a Comment