Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad
menyifatkan aktiviti penjualan pasir ke negara jiran sama seperti
menjual wilayah sendiri ke negara asing.
Dr Mahathir yang berkhidmat paling lama sebagai perdana menteri
berkata, negara sudah merdeka daripada jajahan British lebih setengah
abad lalu tetapi tabiat menjual tanah kepada negara asing masih kekal
walaupun undang-undang melarang kegiatan itu dilakukan.
“Dengan digunanya tanah negara ini untuk memperbesarkan wilayah
negara lain, hasilnya tidak banyak berbeza dengan penjualan wilayah
kepada negara asing, seperti yang dilakukan dahulu,” katanya dalam
tulisan melalui blognya.
Beliau turut menegur aktiviti tebus guna tanah di pesisir Selat
Tebrau yang giat dijalankan dan menyebabkan nilai tanah meningkat
tinggi.
Katanya, persaingan antara dua negara menebus tanah di selat
masing-masing hanya akan menguntungkan golongan kapitalis memiliki
kondominium mewah dan hartanah di kawasan pembangunan bandar baru yang
mahal.
Sebaliknya, rakyat sendiri terutamanya orang Melayu akan mengulangi
sejarah zaman British dengan menjual tanah milik mereka kepada orang
asing apabila ditawarkan dengan harga yang tinggi.
Beliau berkata, selepas tanah habis dijual, orang Melayu akan menjadi
penumpang di negara sendiri apabila berpindah ke kawasan lebih jauh
dari bandar untuk mendirikan rumah dan tinggal di pinggir hutan.
“Tak mengapalah kita dapat duit banyak. Pinggir hutan amat selesa.
“Kalau kita ternampak sebagai penumpang di negara sediri, itu pun tak mengapa.
“Selagi boleh jual negara sendiri apa salahnya menjadi penumpang,” katanya penuh sindiran.
The Edge Review melaporkan projek tebus guna tanah dan pembangunan
besar-besaran yang disokong oleh keluarga diraja Johor mencalar hubungan
baik antara Malaysia – Singapura.
Memetik sumber dalam ruangan Informer, akhbar itu melaporkan syarikat
Country Gardens Holding Co Ltd daripada China mendapat hak daripada
kerajaan Johor untuk menebus guna sebanyak 2,000 hektar tanah di pantai
Johor untuk projek perumahan mewah.
Projek bernilai berbilion dolar itu akan memanjangkan pantai Johor di
Link Kedua sehingga ke tepi sempadan yang memisahkan Malaysia dan
Singapura sehingga menimbulkan rasa tidak senang negara republik itu.
Memetik sumber, akhbar itu berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim
Ismail Sultan Iskandar merupakan individu di belakang projek itu, yang
sedang dipromosikan secara aktif oleh ahli politik yang berkuasa di
Johor.
Katanya, walaupun Singapura masih belum bersuara secara terbuka,
tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan sedang
menghadapi dilema menangani kebimbangan yang akan dibangkitkan oleh
Singapura.
Berikut adalah artikel penuh Tun Mahathir
JUAL TANAH
Tidak seperti kebanyakan negara lain pemilik tanah di Malaysia bebas
menjual tanah mereka kepada sesiapa sahaja, termasuk kepada orang asing.
Di zaman British orang Melayu yang rata-rata miskin kerap menjual tanah
milik mereka. Harga yang ditawarkan oleh pembeli begitu tinggi sehingga
tidak mampu mereka menolak.
Setelah dijual, mereka akan pindah ke kawasan tanah murah, biasanya
di luar bandar. Kemudian bandar berkembang sehingga sampai ke kawasan di
mana penjual tanah mendirikan rumah. Dengan ini harga tanah pun naik
lagi.
Sekali lagi pemilik tanah ditawar harga yang tinggi untuk tanahnya.
Sekali lagi pemilik tidak dapat tahan hati dan lalu menjual tanahnya
serta berpindah ke kawasan lebih jauh dari bandar untuk mendiri rumah.
Akhirnya pemilik tinggal di pinggir hutan.
Oleh sebab ini maka diperkenalkan undang-undang Tanah Simpanan
Melayu. Kawasan yang diisytihar Simpanan Melayu tidak boleh dijual
kepada bukan Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu daripada menjadi
penumpang di negaranya sendiri.
Tetapi jual tanah ini tidak terhad kepada orang rakyat sahaja. Raja
pun sering menjual tanah takluknya. Demikian Pulau Pinang dijual kepada
British. Kemudian Seberang Prai. Dinding di Perak juga dijual. Dan
Singapura.
Dinding tidak berguna kepada British dan dikembalikan kepada Perak.
Apabila cadangan Malaya Union dibuat oleh British Pulau Pinang, Seberang
Prai dan Melaka dirancang sebagai sebahagian dari Union tersebut.
Singapura dikecualikan kerana ianya strategik bagi British. Apabila
Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu
dan pejuang-pejuang anti Malayan Union dikalangan orang Melayu tidak
menuntut Singapura sebagai Wilayah Persekutuan. Apa yang berlaku
kemudian adalah sejarah.
Tetapi tabiat menjual tanah masih kekal. Ia tidak semestinya melibat
kepingan tanah. Mengorek tanah untuk dijual kepada negara lain juga
tidak banyak berbeza dari penjualan tanah.
Kerajaan melarang penjualan tanah seperti ini. Tetapi penjualan ini
masih berlaku. Dengan digunanya tanah Negara ini untuk memperbesarkan
wilayah negara lain,hasilnya tidak banyak berbeza dari penjualan wilayah
kepada negara asing, seperti yang dilakukan dahulu.
Kita sudah merdeka lebih setengah abad. Tetapi kita sudah lupa akan
kesalahan kita dahulu. Memang menjual tanah seperti dapat duit percuma.
Tetapi duit yang didapati akan hangus dibelanja. Akhirnya duit pun
hilang tanah pun hilang. Penjual akan jadi papa kedana.
Sebenarnya ada cara untuk mengekalkan pemilikan sementara mendapat
nikmat berpanjangan dari nilai tanah yang meningkat sepanjang masa.
Tetapi itu cerita lain.
Di zaman ini dengan teknologi dan modal yang banyak terusan seperti
Selat Tebrau pun boleh ditebusguna sepenuhnya. Nilai tanah ini tentulah
amat tinggi, lebih tinggi dari belanja menebusguna. Sedikit sebanyak
usaha ini sudah dilakukan.
Setelah pihak kita menebusguna selat di sebelah kita, pihak lain pula
akan menebusguna sebelah mereka. Terusan akan jadi parit. Jambatan
tidak perlu lagi. Siapakah yang akan bangun tanah tebusan yang mahal
ini. Siapakah yang akan tinggal di bandar-bandar baru. Tentulah mereka
yang berada sahaja yang akan memiliki kondo-kondo mewah yang akan
didirikan.
Tak mengapalah kita dapat duit banyak. Pinggir hutan amat selesa.
Kalau kita ternampak sebagai penumpang di negara sediri, itu pun tak
mengapa. Selagi boleh jual negara sendiri apa salahnya menjadi
penumpang.
Source: Editorial SuaraTV