Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin berkata kerajaan negeri sedang merangka enam pendekatan dalam usaha
untuk memastikan perancangan pembangunan sektor hartanah di Johor lebih
sistematik, terkawal dan sesuai dengan keadaan semasa.
Mohamed Khaled berkata, antara pendekatan
tersebut termasuk memperkenal satu enakmen baharu yang dikenali sebagai Enakmen
Perumahan dan Hartanah Negeri Johor yang akan dibentang pada persidangan Dewan
Undangan Negeri (DUN), Mac tahun depan.
"Melalui enkamen ini, hasrat kerajaan negeri
adalah untuk memastikan penyelarasan dan perancangan pembangunan sektor
perumahan di Johor mampu menjadi lebih sistematik dan berkesan melaui Penubuhan
Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Johor," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
merasmikan Karnival Perumahan Mampu Milik Bumiputera Johor, di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Persada di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa
Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi.
Katanya, kerajaan negeri juga akan menyemak
semula dasar pemilikan hartanah oleh bumiputera seperti sering kali yang
diutarakan rakyat terutamanya dari aspek ketelusan penawarannya di pasaran.
"Dasar sedia ada sedang disemak semula oleh
sebuah jawatankuasa yang diterajui Pejabat Tanah dan Galian negeri bersama
beberapa jabatan lain dan ini merupakan sesuatu yang sangat penting bagi
memastikan tiada sebarang bentuk manipulasi terhadap kuota dan pematuhan.
"Saya ingin menegaskan kerajaan negeri akan
bertindak tegas sekiranya terdapat pemaju atau mana-mana pihak yang tidak
mematuhi dasar berkaitan hartanah bumiputera sebagaimana yang telah dinyatakan
di dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan pemaju," katanya.
Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri juga akan
bertindak menyenarai hitam mana-mana pemaju yang masih gagal mendirikan
komponen perumahan kos rendah atau kos sederhana serta mampu milik dalam tempoh
dua tahun daripada tarikh pendaftaran hak milik.
Dalam masa sama, katanya pihak berkuasa tempatan
akan mengambil semula tapak berkenaan dengan mengenakan caj yang ditetapkan
serta membekukan sebarang kelulusan fasa lain untuk sebarang projek perumahan
berkenaan.
Selain itu, kerajaan negeri juga turut mengambil
langkah menyemak semula dasar pemilikan hartanah oleh kepentingan asing seperti
menaikkan kadar kelulusan setiap unit kepada dua peratus berbanding RM10,000
sebelum ini dan menaikkan kadar minimum pemilikan nilai hartanah kepada RM1
juta, mulai 1 Mei tahun depan.
Katanya setiap pemaju yang mendapat pelepasan kuota
bumiputera turut disyaratkan untuk membayar 7.5 peratus daripada harga yang
dinyatakan di dalam perjanjian jual beli kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata hasil berkenaan akan dimasukkan ke
dalam Tabung Amanah Bumiputera dan akan digunakan untuk membangunkan projek
perumahan selesa bagi golongan Bumiputera di seluruh negeri ini.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga akan
memperluaskan Dasar Perumahan Rakyat Wilayah Iskandar ke seluruh negeri Johor
bermula tahun depan dan melalui pelaksanaan dasar baru ini, penjenamaan semula
rumah kos rendah (RKR) atau rumah kos sederhana (RKSR) serta Rumah Mampu Milik
Johor (RMMJ) akan dilaksanakan.
"Komponen Dasar Perumahan Rakyat Johor di
luar kawasan Wilayah Iskandar Malaysia akan melibatkan pecahan 10 peratus
Perumahan Komuniti Johor Jenis A berkeluasan 720 kaki persegi pada harga
RM42,000 dan 15 peratus Perumahan Komuniti Johor Jenis B, berkeluasan 850 kaki
persegi dengan harga RM80,000.
"Sementara 10 peratus lagi RMMJ Johor dengan
keluasan tanah 1,400 kaki persegi dan keluasan binaan 1,000 kaki persegi pada
harga maksimum di antara RM140,000 hingga RM150,000," katanya.
Sementara itu lebih 10,000 pengunjung dijangka
akan menghadiri ekspo selama tiga hari berkenaan yang disertai lebih 26
syarikat perumahan dan enam insitusi kewangan.
- BERNAMA