google.com, pub-4145492594364757, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Rumah Sewa Malaysia: May 2014

'1 Click This Ads Can Generate Our Income'

Saturday, May 31, 2014

TABIAT SUKA JUAL TANAH - TUN MAHATHIR MOHAMED


KUALA LUMPUR: Tabiat pihak yang suka menjual tanah untuk mendapatkan wang  untuk keuntungann jangka pendek adalah ibarat menggadai negara sendiri kata Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di dalam artikel terbaharu beliau di blognya chedet.com, beliau berkata di zaman British dahulu, orang Melayu yang rata-rata miskin kerap menjual tanah milik mereka.

“Setelah dijual, mereka akan pindah ke kawasan tanah murah, biasanya di luar bandar.

“Kemudian bandar berkembang sehingga sampai ke kawasan di mana penjual tanah mendirikan rumah. Dengan ini harga tanah pun naik lagi.


“Sekali lagi pemilik tanah ditawar harga yang tinggi untuk tanahnya. Sekali lagi pemilik tidak dapat tahan hati dan lalu menjual tanahnya serta berpindah ke kawasan lebih jauh dari bandar untuk mendiri rumah. Akhirnya pemilik tinggal di pinggir hutan,” katanya.

Beliau berkata oleh sebab ini, undang-undang Tanah Simpanan Melayu diperkenalkan.

“Kawasan yang diisytihar Simpanan Melayu tidak boleh dijual kepada bukan Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu daripada menjadi penumpang di negaranya sendiri.

“Tetapi jual tanah ini tidak terhad kepada orang rakyat sahaja. Raja pun sering menjual tanah takluknya. Demikian Pulau Pinang dijual kepada British. Kemudian Seberang Prai. Dinding di Perak juga dijual. Dan Singapura.

“Dinding tidak berguna kepada British dan dikembalikan kepada Perak. Apabila cadangan Malaya Union dibuat oleh British Pulau Pinang, Seberang Prai dan Melaka dirancang sebagai sebahagian dari Union tersebut,” katanya.

Katanya Singapura dikecualikan kerana ianya strategik bagi British.

“Apabila Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu dan pejuang-pejuang anti Malayan Union dikalangan orang Melayu tidak menuntut Singapura sebagai Wilayah Persekutuan.

“Apa yang berlaku kemudian adalah sejarah. Tetapi tabiat menjual tanah masih kekal.

“Ia tidak semestinya melibat kepingan tanah. Mengorek tanah untuk dijual kepada negara lain juga tidak banyak berbeza dari penjualan tanah,” katanya sambil menambah walaupun kerajaan melarang penjualan tanah seperti ini, ia masih berlaku.


Beliau berkata dengan digunanya tanah negara ini untuk memperbesarkan wilayah negara lain,hasilnya tidak banyak berbeza dari penjualan wilayah kepada negara asing.

“Kita sudah merdeka lebih setengah abad. Tetapi kita sudah lupa akan kesalahan kita dahulu. Memang menjual tanah seperti dapat duit percuma. Tetapi duit yang didapati akan hangus dibelanja. Akhirnya duit pun hilang tanah pun hilang. Penjual akan jadi papa kedana.”

Beliau berkata di zaman ini dengan teknologi dan modal yang banyak terusan seperti Selat Tebrau, ia pun boleh ditebusguna sepenuhnya.

“Nilai tanah ini tentulah amat tinggi, lebih tinggi dari belanja menebusguna. Sedikit sebanyak usaha ini sudah dilakukan.

“Setelah pihak kita menebusguna selat di sebelah kita, pihak lain pula akan menebusguna sebelah mereka. Terusan akan jadi parit. Jambatan tidak perlu lagi. Siapakah yang akan bangun tanah tebusan yang mahal ini. Siapakah yang akan tinggal di bandar-bandar baru.

“Tentulah mereka yang berada sahaja yang akan memiliki kondo-kondo mewah yang akan didirikan.

“Tak mengapalah kita dapat duit banyak. Pinggir hutan amat selesa. Kalau kita ternampak sebagai penumpang di negara sediri, itu pun tak mengapa. Selagi boleh jual negara sendiri apa salahnya menjadi penumpang,” akhiri beliau.

Sumber: Astro Awani

p.s: Sultan manakah yang menggadaikan tanah kepada investor china sehingga mengaut keuntungan berbillion ringgit?

Thursday, May 22, 2014

NEGERI JOHOR RANGKA ENAM PENDEKATAN PEMBANGUNAN HARTANAH


Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri sedang merangka enam pendekatan dalam usaha untuk memastikan perancangan pembangunan sektor hartanah di Johor lebih sistematik, terkawal dan sesuai dengan keadaan semasa.

Mohamed Khaled berkata, antara pendekatan tersebut termasuk memperkenal satu enakmen baharu yang dikenali sebagai Enakmen Perumahan dan Hartanah Negeri Johor yang akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mac tahun depan.

"Melalui enkamen ini, hasrat kerajaan negeri adalah untuk memastikan penyelarasan dan perancangan pembangunan sektor perumahan di Johor mampu menjadi lebih sistematik dan berkesan melaui Penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Johor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Perumahan Mampu Milik Bumiputera Johor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menyemak semula dasar pemilikan hartanah oleh bumiputera seperti sering kali yang diutarakan rakyat terutamanya dari aspek ketelusan penawarannya di pasaran.


"Dasar sedia ada sedang disemak semula oleh sebuah jawatankuasa yang diterajui Pejabat Tanah dan Galian negeri bersama beberapa jabatan lain dan ini merupakan sesuatu yang sangat penting bagi memastikan tiada sebarang bentuk manipulasi terhadap kuota dan pematuhan.

"Saya ingin menegaskan kerajaan negeri akan bertindak tegas sekiranya terdapat pemaju atau mana-mana pihak yang tidak mematuhi dasar berkaitan hartanah bumiputera sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan pemaju," katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri juga akan bertindak menyenarai hitam mana-mana pemaju yang masih gagal mendirikan komponen perumahan kos rendah atau kos sederhana serta mampu milik dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pendaftaran hak milik.

Dalam masa sama, katanya pihak berkuasa tempatan akan mengambil semula tapak berkenaan dengan mengenakan caj yang ditetapkan serta membekukan sebarang kelulusan fasa lain untuk sebarang projek perumahan berkenaan.

Selain itu, kerajaan negeri juga turut mengambil langkah menyemak semula dasar pemilikan hartanah oleh kepentingan asing seperti menaikkan kadar kelulusan setiap unit kepada dua peratus berbanding RM10,000 sebelum ini dan menaikkan kadar minimum pemilikan nilai hartanah kepada RM1 juta, mulai 1 Mei tahun depan.

Katanya setiap pemaju yang mendapat pelepasan kuota bumiputera turut disyaratkan untuk membayar 7.5 peratus daripada harga yang dinyatakan di dalam perjanjian jual beli kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata hasil berkenaan akan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Bumiputera dan akan digunakan untuk membangunkan projek perumahan selesa bagi golongan Bumiputera di seluruh negeri ini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga akan memperluaskan Dasar Perumahan Rakyat Wilayah Iskandar ke seluruh negeri Johor bermula tahun depan dan melalui pelaksanaan dasar baru ini, penjenamaan semula rumah kos rendah (RKR) atau rumah kos sederhana (RKSR) serta Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan dilaksanakan.

"Komponen Dasar Perumahan Rakyat Johor di luar kawasan Wilayah Iskandar Malaysia akan melibatkan pecahan 10 peratus Perumahan Komuniti Johor Jenis A berkeluasan 720 kaki persegi pada harga RM42,000 dan 15 peratus Perumahan Komuniti Johor Jenis B, berkeluasan 850 kaki persegi dengan harga RM80,000.

"Sementara 10 peratus lagi RMMJ Johor dengan keluasan tanah 1,400 kaki persegi dan keluasan binaan 1,000 kaki persegi pada harga maksimum di antara RM140,000 hingga RM150,000," katanya.
Sementara itu lebih 10,000 pengunjung dijangka akan menghadiri ekspo selama tiga hari berkenaan yang disertai lebih 26 syarikat perumahan dan enam insitusi kewangan.
- BERNAMA