Mesyuarat 21 November 2013 tentukan mekanisma terbaik

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memperincikan semula kaedah pemberian subsidi RM30,000 di bawah Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan (gambar), berkata sama ada agihan subsidi itu diserahkan kepada pemaju atau pembeli, semua akan diperincikan pada satu mesyuarat membabitkan beberapa pihak berwajib, 21 November ini.

“Kita akan fikirkan mekanisma terbaik dan memperincikannya pada mesyuarat itu bersama semua setiausaha kerajaan negeri, pejabat tanah dan galian, wakil persatuan pemaju perumahan dan bank,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) di Dewan Rakyat, semalam.

Program baru

Beliau berkata, wakil Kementerian Kewangan, Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Bank Negara akan turut hadir dalam mesyuarat berkenaan.

MyHome adalah program baru diperkenalkan kerajaan dalam Bajet 2014 sebagai langkah menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana.

Sebelum ini, skim itu menawarkan subsidi RM30,000 seunit kepada pemaju swasta mengikut lima kriteria, antaranya pemaju perlu membina sekurang-kurangnya 20 peratus rumah kos rendah dan 20 peratus rumah kos sederhana dalam satu projek perumahan. Harga jualan maksimum rumah kos rendah ialah RM45,000 dan rumah kos sederhana ialah RM170,000.

Mengenai pendekatan kementerian menjayakan projek pembinaan kediaman untuk rakyat, Abdul Rahman berkata, Majlis Perumahan Negara ditubuhkan untuk merangka strategi dan pelan tindakan bagi memastikan nilai harga dan penyediaan rumah dilaksanakan dengan lebih cekap dan cepat.

Katanya, majlis itu juga bertanggungjawab memantau pasaran hartanah, manakala keanggotaannya membabitkan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, Jabatan Perumahan Negara, PR1MA serta Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Dalam pada itu, beliau berkata, laporan dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan 4.67 juta unit rumah dibina sehingga Jun lalu, termasuk rumah teres, teres dua tingkat, rumah berkembar, kondominium, kos rendah dan sederhana.