google.com, pub-4145492594364757, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Rumah Sewa Malaysia: Berita

'1 Click This Ads Can Generate Our Income'

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Thursday, July 3, 2014

JUAL PASIR KE SINGAPURA IBARAT MENJUAL NEGARA SENDIRI - TUN DR. MAHATHIR

Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad menyifatkan aktiviti penjualan pasir ke negara jiran sama seperti menjual wilayah sendiri ke negara asing.

Dr Mahathir yang berkhidmat paling lama sebagai perdana menteri berkata, negara sudah merdeka daripada jajahan British lebih setengah abad lalu tetapi tabiat menjual tanah kepada negara asing masih kekal walaupun undang-undang melarang kegiatan itu dilakukan.

“Dengan digunanya tanah negara ini untuk memperbesarkan wilayah negara lain, hasilnya tidak banyak berbeza dengan penjualan wilayah kepada negara asing, seperti yang dilakukan dahulu,” katanya dalam tulisan melalui blognya.

Beliau turut menegur aktiviti tebus guna tanah di pesisir Selat Tebrau yang giat dijalankan dan menyebabkan nilai tanah meningkat tinggi.

Katanya, persaingan antara dua negara menebus tanah di selat masing-masing hanya akan menguntungkan golongan kapitalis memiliki kondominium mewah dan hartanah di kawasan pembangunan bandar baru yang mahal.

Sebaliknya, rakyat sendiri terutamanya orang Melayu akan mengulangi sejarah zaman British dengan menjual tanah milik mereka kepada orang asing apabila ditawarkan dengan harga yang tinggi.

Beliau berkata, selepas tanah habis dijual, orang Melayu akan menjadi penumpang di negara sendiri apabila berpindah ke kawasan lebih jauh dari bandar untuk mendirikan rumah dan tinggal di pinggir hutan.

“Tak mengapalah kita dapat duit banyak. Pinggir hutan amat selesa.

“Kalau kita ternampak sebagai penumpang di negara sediri, itu pun tak mengapa.

“Selagi boleh jual negara sendiri apa salahnya menjadi penumpang,” katanya penuh sindiran.

The Edge Review melaporkan projek tebus guna tanah dan pembangunan besar-besaran yang disokong oleh keluarga diraja Johor mencalar hubungan baik antara Malaysia – Singapura.

Memetik sumber dalam ruangan Informer, akhbar itu melaporkan syarikat Country Gardens Holding Co Ltd daripada China mendapat hak daripada kerajaan Johor untuk menebus guna sebanyak 2,000 hektar tanah di pantai Johor untuk projek perumahan mewah.

Projek bernilai berbilion dolar itu akan memanjangkan pantai Johor di Link Kedua sehingga ke tepi sempadan yang memisahkan Malaysia dan Singapura sehingga menimbulkan rasa tidak senang negara republik itu.

Memetik sumber, akhbar itu berkata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar merupakan individu di belakang projek itu, yang sedang dipromosikan secara aktif oleh ahli politik yang berkuasa di Johor.

Katanya, walaupun Singapura masih belum bersuara secara terbuka, tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan sedang menghadapi dilema menangani kebimbangan yang akan dibangkitkan oleh Singapura.

Berikut adalah artikel penuh Tun Mahathir

JUAL TANAH
Tidak seperti kebanyakan negara lain pemilik tanah di Malaysia bebas menjual tanah mereka kepada sesiapa sahaja, termasuk kepada orang asing. Di zaman British orang Melayu yang rata-rata miskin kerap menjual tanah milik mereka. Harga yang ditawarkan oleh pembeli begitu tinggi sehingga tidak mampu mereka menolak.

Setelah dijual, mereka akan pindah ke kawasan tanah murah, biasanya di luar bandar. Kemudian bandar berkembang sehingga sampai ke kawasan di mana penjual tanah mendirikan rumah. Dengan ini harga tanah pun naik lagi.

Sekali lagi pemilik tanah ditawar harga yang tinggi untuk tanahnya. Sekali lagi pemilik tidak dapat tahan hati dan lalu menjual tanahnya serta berpindah ke kawasan lebih jauh dari bandar untuk mendiri rumah. Akhirnya pemilik tinggal di pinggir hutan.

Oleh sebab ini maka diperkenalkan undang-undang Tanah Simpanan Melayu. Kawasan yang diisytihar Simpanan Melayu tidak boleh dijual kepada bukan Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu daripada menjadi penumpang di negaranya sendiri.

Tetapi jual tanah ini tidak terhad kepada orang rakyat sahaja. Raja pun sering menjual tanah takluknya. Demikian Pulau Pinang dijual kepada British. Kemudian Seberang Prai. Dinding di Perak juga dijual. Dan Singapura.

Dinding tidak berguna kepada British dan dikembalikan kepada Perak. Apabila cadangan Malaya Union dibuat oleh British Pulau Pinang, Seberang Prai dan Melaka dirancang sebagai sebahagian dari Union tersebut. Singapura dikecualikan kerana ianya strategik bagi British. Apabila Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu dan pejuang-pejuang anti Malayan Union dikalangan orang Melayu tidak menuntut Singapura sebagai Wilayah Persekutuan. Apa yang berlaku kemudian adalah sejarah.

Tetapi tabiat menjual tanah masih kekal. Ia tidak semestinya melibat kepingan tanah. Mengorek tanah untuk dijual kepada negara lain juga tidak banyak berbeza dari penjualan tanah.

Kerajaan melarang penjualan tanah seperti ini. Tetapi penjualan ini masih berlaku. Dengan digunanya tanah Negara ini untuk memperbesarkan wilayah negara lain,hasilnya tidak banyak berbeza dari penjualan wilayah kepada negara asing, seperti yang dilakukan dahulu.

Kita sudah merdeka lebih setengah abad. Tetapi kita sudah lupa akan kesalahan kita dahulu. Memang menjual tanah seperti dapat duit percuma. Tetapi duit yang didapati akan hangus dibelanja. Akhirnya duit pun hilang tanah pun hilang. Penjual akan jadi papa kedana.

Sebenarnya ada cara untuk mengekalkan pemilikan sementara mendapat nikmat berpanjangan dari nilai tanah yang meningkat sepanjang masa. Tetapi itu cerita lain.
Di zaman ini dengan teknologi dan modal yang banyak terusan seperti Selat Tebrau pun boleh ditebusguna sepenuhnya. Nilai tanah ini tentulah amat tinggi, lebih tinggi dari belanja menebusguna. Sedikit sebanyak usaha ini sudah dilakukan.

Setelah pihak kita menebusguna selat di sebelah kita, pihak lain pula akan menebusguna sebelah mereka. Terusan akan jadi parit. Jambatan tidak perlu lagi. Siapakah yang akan bangun tanah tebusan yang mahal ini. Siapakah yang akan tinggal di bandar-bandar baru. Tentulah mereka yang berada sahaja yang akan memiliki kondo-kondo mewah yang akan didirikan.

Tak mengapalah kita dapat duit banyak. Pinggir hutan amat selesa. Kalau kita ternampak sebagai penumpang di negara sediri, itu pun tak mengapa. Selagi boleh jual negara sendiri apa salahnya menjadi penumpang.

Source: Editorial SuaraTV

Tuesday, April 29, 2014

BERITA: Dasar kuota rumah 70 peratus untuk Bumiputera adil


Dasar kuota rumah 70 peratus untuk Bumiputera adil - MB Perlis

KANGAR: Dasar penetapan kuota pemilikan rumah iaitu 70 peratus Bumiputera dan 30 peratus untuk bukan Bumiputera (70-30) bagi setiap projek yang dilaksanakan di Perlis adalah untuk mewujudkan keadilan dan tidak mengenepikan hak mana-mana kaum, kata Menteri Besar, Azlan Man.

Katanya, jika mengikut komposisi kaum, kuota yang sepatutnya ditetapkan adalah 90-10 kerana 90 peratus penduduk Perlis adalah Bumiputera dan bukan Bumiputera cuma 10 peratus.

Azlan (BN-Pauh) yang menjawab pertanyaan Chan Ming Kai (PKR-Indra Kayangan) semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Yang Pertama (2013) Tahun 2014 pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini menegaskan dasar itu yang mula diguna pakai tahun lalu bukan bermakna kerajaan negeri mengamalkan sentimen perkauman.



Chan sebelum itu mencabar supaya kerajaan negeri menjawab bahawa dasar itu melampau, tidak menguntungkan pemaju selain golongan Bumiputera tidak berupaya membeli semua kuota yang diperuntukkan kepada mereka.

Wakil PKR itu juga mendakwa Bumiputera sebaliknya lebih suka membeli kuota bukan Bumiputera kerana dapat menjualnya dengan harga lebih tinggi selepas beberapa tahun.

Pada satu tahap Chan yang tidak berpuas hati dengan jawapan Azlan berkaitan dasar perumahan bangun untuk menyoal Menteri Besar itu namun Azlan tidak memberi laluan kerana mahu menjawab semua tuduhan wakil PKR itu dan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Dewan.
Sebelum dasar baharu itu dilaksanakan, kuota pemilikan rumah adalah 60-40 bagi tanah pegangan antarabangsa.

Menurut Azlan kajian yang dibuat mendapati permintaan rumah oleh Bumiputera di Perlis telah meningkat dan unit-unit yang diperuntukkan kepada mereka termasuk lot-lot komersial tidak mencukupi.

"Jika ikut prinsip penawaran dan permintaan sampai bila akan wujud keadilan kerana kuasa beli bukan Bumiputera lebih tinggi. Kuota ini adalah mengikut keperluan," katanya.

Azlan berkata, kira-kira separuh daripada lebih 810 kilometer persegi negeri Perlis diwartakan sebagai kawasan pertanian atau pengeluaran makanan oleh Majlis Keselamatan Makanan Negara.

"Oleh sebab itu kerajaan negeri membuat zon bagi kawasan pembangunan untuk perumahan dan komersial. Bangunan yang dibina secara haram akan dikenakan tindakan," katanya. 

Bernama

Monday, February 3, 2014

PROGRAM RUMAH MESRA RAKYAT 2014


Kerajaan telah membina 28,599 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) dengan kos RM1.858 bilion melibatkan subsidi sebanyak RM571.9 juta.

Menurut Kementerian Kewangan, langkah itu sebagai usaha membantu setiap isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan memiliki rumah dengan itu membantu meringankan beban mereka.
  
Melalui Bajet 2014, kerajaan telah meluluskan pembinaan 8,000 RMR yang akan dilaksanakan oleh SPNB. Terdapat tiga jenis RMR iaitu rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi yang dijual pada harga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000.
 
Rumah yang berkeluasan 850 kaki persegi dijual pada harga RM55,000 dengan subsidi RM17,500 manakala rumah yang berkeluasan 700 kaki persegi dijual pada harga RM45,000 dengan subsidi RM15,000 setiap unit.
 
Selain RMR, SPNB juga akan membina 15,122 unit Rumah Mampu Milik dan 3,000 unit Rumah Idaman Rakyat tahun ini.

Selain itu, SPNB diminta untuk menyiapkan pada tahun ini sebanyak 26,122 unit rumah keseluruhannya. - Bernama

 

Monday, December 16, 2013

SULTAN JOHOR MENJUAL TANAH BAGI TUJUAN PELABURAN DAN PEMBANGUNAN.



PETALING JAYA – Selepas menjual Enam (6) plot tanah di Johor Baru bernilai RM4.5 bilion, Sultan Johor menandatangani perjanjian untuk membeli 20 peratus saham Berjaya Times Square Sdn Bhd (BTS) membabitkan RM250 juta tunai.

Ia bukan pelaburan pertama yang dimeterai Sultan Johor beberapa bulan kebelakangan ini.

Berjaya Assets Bhd memberitahu Bursa Malaysia bahawa syarikat tersebut telah melupuskan saham 150 juta atau RM1 setiap satu, atau 20 peratus kepentingan ekuitinya dalam BTS kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Bangunan BTS merangkumi pusat membeli-belah setinggi 12 tingkat, dua menara suite 46 tingkat, lima tingkat tempat letak kereta bawah tanah dan 10 tingkat tempat letak kereta annex.

Selain itu, BTS turut terlibat mengendalikan tempat letak kereta dan taman tema, serta anak syarikat lain yang menguruskan Berjaya Waterfront, Johor Baru (sebelum ini dikenali sebagai The Zon di Johor) dengan hartanah berkeluasan melebihi 7.28 hektar di Johor.

Berjaya Assets berkata, pelupusan itu menambah wang tunai segera dan mempelawa Sultan Ibrahim untuk melabur secara langsung dan mengambil bahagian secara aktif dalam hala tuju dan perkembangan BTS.

Beberapa minggu lalu, syarikat pemaju dari China, Guangzhou R&F Properties Co Ltd membeli Enam (6) plot tanah berkeluasan 47 hektar di Johor Baru daripada Sultan Ibrahim bernilai RM4.5 bilion atau RM891 per kaki persegi.

Perjanjian itu mencatatkan rekod selepas beberapa bulan sebuah lagi syarikat dari China, Country Garden Holdings Co Ltd, membeli 22.26 hektar tanah di 'Danga Bay' bernilai RM376 per kaki persegi dari pemaju lain.


Selain itu, Berjaya Assets merupakan sebahagian daripada Kumpulan Berjaya di mana pada asasnya majoriti dimiliki oleh Tan Sri Vincent Tan.

Beliau merupakan pelabur dalam REDtone International Berhad dan membeli lebih banyak saham pada Julai untuk meningkatkan nilai pegangan sahamnya kepada 13.86 peratus, sekali gus menjadikan beliau pemegang saham kedua tertinggi dalam syarikat telekomunikasi itu.

Pada Mei 2013 lalu, Sultan Johor menamatkan 51 peratus kepentingan ekuitinya dalam REDtone Network Sdn Bhd (RN) menerusi transaksi dengan REDtone International yang pegangan saham dalam RN menurun daripada 70 peratus kepada 49 peratus. – The Star


BERITA JOHOR: SEKTOR HARTANAH JOHOR LEBIH SISTEMATIK.

DATUK SERI HJ. MOHAMED KHALED NORDIN

Kerajaan negeri sedang merangka enam pendekatan dalam usaha untuk memastikan perancangan pembangunan sektor hartanah di Johor lebih sistematik, terkawal dan sesuai dengan keadaan semasa bagi memastikan tiada sebarang bentuk manipulasi terhadap kuota dan pematuhan serta ketelusan penawarannya di pasaran seperti sering kali yang diutarakan rakyat disamping membangunkan projek perumahan selesa bagi golongan Bumiputera di seluruh negeri ini dan menyenarai hitam mana-mana pemaju yang masih gagal mendirikan komponen perumahan kos rendah atau kos sederhana serta mampu milik dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pendaftaran hak milik.


Wednesday, December 11, 2013

PROTON PERDANA V8 - HONDA ACCORD REBADGE.



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan.

Proton Perdana berwajah baharu itu menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.

Dua unit edisi khas Proton Perdana berwajah baharu turut dikeluarkan untuk Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada majlis itu, Najib juga menerima kenderaan rasmi beliau dengan plat nombor W11N.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan menteri Kabinet.
Sebanyak 200 unit pertama Proton Perdana baharu akan diserahkan kepada kerajaan setiap bulan. - Bernama, 11 Disember, 2013.







Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohd Khamil berkata Proton Holdings Berhad (Proton), anak syarikat DRB-HICOM, hari ini menyerahkan kumpulan pertama 200 unit Proton Perdana kepada kerajaan.

Beliau berkata 3,000 unit lagi akan diserahkan kepada kerajaan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun bagi menggantikan kumpulan Proton Perdana pada masa ini yang digunakan sebagai kenderaan kerajaan.


"Buat masa ini, Proton Perdana baharu itu hanya untuk kenderaan rasmi kerajaan, termasuk agensi kerajaan dan ia tidak akan dijual kepada orang awam.


"Proton juga menerima permintaan daripada kerajaan negeri dan badan berkanun untuk menukarkan Proton Perdana yang sedia namun ia tertakluk kepada kelulusan," katanya.


Mohd Khamil berkata Proton Perdana merupakan sebahagian daripada program pembangunan yang dijalankan Proton dengan kerjasama Honda Japan Ltd.


Beliau berkata ia merupakan fasa pertama program antara Proton dan Honda, menurut perjanjian kerjasama antara kedua belah pihak akhir tahun lepas.


"Kami menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia atas kepercayaan mereka kepada Proton dan memberikan kami peluang sekali lagi sebagai penyedia kenderaan rasmi kerajaan," katanya.


Mohd Khamil berkata penggantian model Perdana yang akan digunakan kerajaan Persekutuan adalah di bawah fasa satu perancangan Proton bagi membangunkan segmen D baharu.


Katanya Proton telah memulakan fasa dua program berkenaan yang membabitkan pembangunan seterusnya model segmen D mengikut inisiatif perkongsian platform dengan Honda Japan Ltd, dengan reka bentuk dalaman dan luaran yang baharu.


"Ia akan dilancarkan di pasaran Malaysia dalam tempoh 18 hingga 24 bulan. Ia akan dijual kepada orang awam," katanya.


Berita Awani.