google.com, pub-4145492594364757, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Rumah Sewa Malaysia: NEGERI JOHOR RANGKA ENAM PENDEKATAN PEMBANGUNAN HARTANAH

'1 Click This Ads Can Generate Our Income'

Thursday, May 22, 2014

NEGERI JOHOR RANGKA ENAM PENDEKATAN PEMBANGUNAN HARTANAH


Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri sedang merangka enam pendekatan dalam usaha untuk memastikan perancangan pembangunan sektor hartanah di Johor lebih sistematik, terkawal dan sesuai dengan keadaan semasa.

Mohamed Khaled berkata, antara pendekatan tersebut termasuk memperkenal satu enakmen baharu yang dikenali sebagai Enakmen Perumahan dan Hartanah Negeri Johor yang akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Mac tahun depan.

"Melalui enkamen ini, hasrat kerajaan negeri adalah untuk memastikan penyelarasan dan perancangan pembangunan sektor perumahan di Johor mampu menjadi lebih sistematik dan berkesan melaui Penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Johor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Perumahan Mampu Milik Bumiputera Johor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menyemak semula dasar pemilikan hartanah oleh bumiputera seperti sering kali yang diutarakan rakyat terutamanya dari aspek ketelusan penawarannya di pasaran.


"Dasar sedia ada sedang disemak semula oleh sebuah jawatankuasa yang diterajui Pejabat Tanah dan Galian negeri bersama beberapa jabatan lain dan ini merupakan sesuatu yang sangat penting bagi memastikan tiada sebarang bentuk manipulasi terhadap kuota dan pematuhan.

"Saya ingin menegaskan kerajaan negeri akan bertindak tegas sekiranya terdapat pemaju atau mana-mana pihak yang tidak mematuhi dasar berkaitan hartanah bumiputera sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan pemaju," katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri juga akan bertindak menyenarai hitam mana-mana pemaju yang masih gagal mendirikan komponen perumahan kos rendah atau kos sederhana serta mampu milik dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pendaftaran hak milik.

Dalam masa sama, katanya pihak berkuasa tempatan akan mengambil semula tapak berkenaan dengan mengenakan caj yang ditetapkan serta membekukan sebarang kelulusan fasa lain untuk sebarang projek perumahan berkenaan.

Selain itu, kerajaan negeri juga turut mengambil langkah menyemak semula dasar pemilikan hartanah oleh kepentingan asing seperti menaikkan kadar kelulusan setiap unit kepada dua peratus berbanding RM10,000 sebelum ini dan menaikkan kadar minimum pemilikan nilai hartanah kepada RM1 juta, mulai 1 Mei tahun depan.

Katanya setiap pemaju yang mendapat pelepasan kuota bumiputera turut disyaratkan untuk membayar 7.5 peratus daripada harga yang dinyatakan di dalam perjanjian jual beli kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata hasil berkenaan akan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Bumiputera dan akan digunakan untuk membangunkan projek perumahan selesa bagi golongan Bumiputera di seluruh negeri ini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga akan memperluaskan Dasar Perumahan Rakyat Wilayah Iskandar ke seluruh negeri Johor bermula tahun depan dan melalui pelaksanaan dasar baru ini, penjenamaan semula rumah kos rendah (RKR) atau rumah kos sederhana (RKSR) serta Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) akan dilaksanakan.

"Komponen Dasar Perumahan Rakyat Johor di luar kawasan Wilayah Iskandar Malaysia akan melibatkan pecahan 10 peratus Perumahan Komuniti Johor Jenis A berkeluasan 720 kaki persegi pada harga RM42,000 dan 15 peratus Perumahan Komuniti Johor Jenis B, berkeluasan 850 kaki persegi dengan harga RM80,000.

"Sementara 10 peratus lagi RMMJ Johor dengan keluasan tanah 1,400 kaki persegi dan keluasan binaan 1,000 kaki persegi pada harga maksimum di antara RM140,000 hingga RM150,000," katanya.
Sementara itu lebih 10,000 pengunjung dijangka akan menghadiri ekspo selama tiga hari berkenaan yang disertai lebih 26 syarikat perumahan dan enam insitusi kewangan.
- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment