22/11/2013
Kerajaan akan memperkasakan peranan juruukur bangunan yang akan
bertindak sebagai badan pemantau ketika pelaksanaan sebarang projek
pembangunan hartanah di negara ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, berkata kerajaan sedang
memperinci peranan badan pemantau itu sebelum bercadang meminda akta
berkaitan pembinaan bangunan bermula tahun depan.
Katanya, antara perincian dimaksudkan ialah pemantau juruukur bangunan
bagi memastikan pemaju hartanah membangunkan kediaman yang dibeli
berdasarkan spesifikasi yang ditawarkan dalam perjanjian jual beli.
“Sebagai contoh, pengguna membeli pangsapuri pada saiz
tertentu tetapi apabila diserahkan, saiznya tidak sama seperti dalam
perjanjian.
“Oleh itu, kita mahu memperkasakan peranan juruukur bangunan
serta meminda akta berkaitan demi menjaga kepentingan pembeli rumah,”
katanya kepada media selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa
Kawalan Bangunan Ke-3 di Kuala Lumpur, semalam.
Mengulas lanjut, Fadilah berkata, juruukur bangunan yang terdiri
daripada badan profesional juga berperanan sebagai pemantau bagi
memastikan bangunan yang dibina pemaju mematuhi pelan, spesifikasi
standard dan amalan industri sebelum ia mendapat kelulusan akhir.
“Juruukur bangunan mengukur saiz sebenar rumah dan jika ia lebih
daripada saiz dalam perjanjian, maka berkemungkinan besar pembeli perlu
membayar lebihan itu kepada pemaju dan jika ia kurang pula, pembeli
pula boleh menuntut bayaran daripada pemaju,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan berharap lebih banyak pemaju hartanah
tempatan tampil mempraktikkan kaedah pembinaan mengikut piawaian Indeks
Bangunan Hijau (GBI).
Sumber: Bharian